PERANGKAAN PELAJAR

Pelajar di MRSM Langkawi terdiri daripada 2 kategori iaitu Menengah Rendah dan Menengah Atas. Menengah Rendah bermula daripada tingkatan 1,2 dan 3 adalah terdiri daripada pelajar bagi Program IGCSE. Manakala Menengah Atas adalah terdiri daripada pelajar bagi program khas PKP. Bermula daripada tahun 2016 pengambilan pelajar bagi Menengah Atas adalah 100% daripada pelajar Program IGCSE (tingkatan 3 2015) dan bukan lagi pelajar kategori PKP. MRSM Langkawi mampu menampung kapasiti pelajar seramai 740 orang pelajar. Untuk setiap tahun, pengambilan pelajar baru adalah lebih kurang 300 orang pelajar.



Untuk setiap tingkatan, terdapat 6 buah kelas, bergantung terhadap pengambilan pelajar pada tahun tersebut. Setiap kelas boleh memuatkan maksimum 24 hingga 25 orang pelajar. Tempoh pengajian di MRSM Langkawi ialah selama 3 tahun ataupun 5 semester untuk pengajian Menengah Rendah dan 2 tahun bersamaan 4 semester untuk Menengah Atas. Selepas peperiksaan SPM, para pelajar akan diraikan dalam Majlis Graduasi bagi menerima Sijil Pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (SPMRSM). Ini menandakan kejayaan melahirkan anak-anak MARA yang mampu menerajui tonggak negara pada masa hadapan.


PENGAMBILAN PELAJAR

MRSM Langkawi dahulunya merupakan salah satu daripada empat maktab Program Khas Pendidikan (PKP) di Malaysia, selain  MRSM Taiping dan MRSM Jasin dan MRSM Pengkalan Chepa. Kaedah pengambilan pelajar adalah sama dengan kaedah pengambilan pelajar bagi MRSM lain, namun begitu terdapat penekanan terhadap beberapa kriteria penting. Berikut ialah syarat kelayakan untuk memasuki salah satu daripada MRSM Bitara :-

  • Mendapat sekurang-kurangnya 10A dalam Penilaian Tingkatan 3 (PT3).
  • Lulus ujian kecenderungan yang diadakan bagi calon-calon MRSM selepas PT3 di pusat-pusat tertentu
  • Aktif dalam bidang ko-kurikulum.

MRSM Langkawi hanya mengambil pelajar-pelajar baru untuk Tingkatan 1 sahaja pada setiap tahun. Pengambilan pelajar baru biasanya dilakukan pada bulan Februari. Permohonan untuk memasuki MRSM selalunya dibuka oleh Bahagian Pendidikan Menengah MARA kepada calon-calon selepas pertengahan tahun. Calon-calon boleh mendapatkan borang permohonan di mana-mana Pejabat MARA Negeri.